KETIKA ralit meluangkan masa menanam resolusi Tahun Baharu 2024 sambil melayani media sosial berjam lamanya, ada sesuatu yang menangkap pendengaran dan pola mata tatkala menatap skrin komputer riba.
Paparan skrin menunjukkan ada rilisan lagu baharu dari entah siapa penyanyinya.
Demi mengelak bosan, saya terpanggil untuk mendengar lagu berkenaan dan tidak menyangka, jiwa saya seperti ditampar untuk tiga minit ke depannya.
Sewaktu kali pertama mendengar lagu yang berjudul 'Nukilanmu' ini, tiga tanda tanya terlintas dalam fikiran saya; pertama, adakah ini lagu Allahyarham Sudirman Haji Arshad yang dirakam semula menggunakan teknologi Kecerdasan Buatan (AI)?
Kedua, sekilas dengar melodinya mengingatkan saya kepada lagu-lagu kumpulan rock legenda The Beatles atau sedikit identiti muzik Bob Dylan, John Lennon dan M. Nasir.
Ketiga, bagaimana lagu Folk-pop sebegini muncul dalam tengah-tengah 'kepanasan' Pop komersial seperti pop bilik tidur, HipHop aliran Trap dan R&B?
Ketika mendengar, saya merasakan penyanyi ini membawa identiti pejuang seni jalanan yang filosofi muziknya sarat dengan nilai puitis dan estetika canggung yang sudah sekian lama tidak didengari.
Nah, ini bukan lagu Sudirman. Macam dia, tapi bukan. Rupanya penyanyi baharu sedang meningkat naik bernama Arish Mikael berasal dari Muar, Johor.
Ironinya, dalam waktu generasi hari ini lebih memilih genre yang lebih terkini, Arish Mikael memilih haluan lain dalam memaknai makna Pop Nostalgia dalam konteks muzik moden.
Lagu ini menceritakan kisah erti kerinduan terhadap seseorang insan dalam makna yang paling berpuisi. Lantas membangkit rencam sebuah perasaan dan selaksa peristiwa.
Penceritaannya juga cukup sarwajagat atau universal. Selagi mana bernama manusia pasti tidak akan terlepas merasai erti kehilangan dalam kerinduan.
Malah ia bukan sebuah lagu yang sukar difahami tetapi mudah 'menerkam' jiwa pendengar.
Sambil mendengar, saya sehingga berimaginasi wajah sedang ditiup angin bayu di tepi tingkap di dalam bas bersama rakan-rakan menuju ke pekan! Betapa kuatnya penangan!
Aku Rindu Kan Sejuta Puisi,
Nurbisa Jiwa Nurbisa Lara,
Sentuhan Darimu,
Betapa Sepi di Ruangan Ini,
Setelah Hilang Sebuah Nama,
Yang Masih aku Simpan...
Nostalgia! Cukup nostalgia...
Setelah membuat beberapa kajian untuk mengenali sosok bernama Arish Mikael, benar tekaan saya, beliau merupakan penyanyi jalanan terlebih dahulu sebelum dilamar oleh syarikat muzik Luncai Emas kelolaan seniman M. Nasir.
Maka tidak hairanlah jika karyanya begitu berkualiti tatkala saya melihat nama Luncai Emas sebagai penerbit, kerana sejujurnya syarikat itu umpama 'head hunter' yang sentiasa membekalkan pemuzik-pemuzik berkualiti dan beridentiti sendiri.
Namun, perasaan ingin tahu yang bergejolak membawa saya untuk membedah lirik lagu ini.
Saya terlihat perkataan 'Nurbisa' yang digunakan dalam korus lagu, lalu membangkit persoalan dan konspirasi berkenaan maknanya dan kaitannya dengan lagu itu.
Menurut kefahaman saya, Nurbisa itu sinonim sebagai nama pena untuk penulis lirik terunggul sepanjang zaman, Allahyarham Loloq yang juga pernah menjadi penulis lirik eksklusif Luncai Emas.
Beliau juga sering bergandingan bersama M. Nasir dan merupakan penulis lirik lagu Ghazal Untuk Rabiah dendangan Jamal Abdillah dan M. Nasir, Mentera Semerah Padi dan Andalusia nyanyian M. Nasir.
Persoalan yang timbul di benak fikiran saya, adakah penceritaan lagu ini bersandarkan kepada penghargaan kenangan M. Nasir kepada sahabatnya Loloq? Kerana kata-kata patah lirik itu umpamanya merujuk kepada hubungan persahabatan mereka.
Aku Rindu Kan Sejuta Puisi,
Nurbisa Jiwa Nurbisa Lara,
Bagaimanapun, saya difahamkan lagu ini ditulis dan digubah sendiri oleh Arish Mikael dan rakannya Radzlan dan tidak merujuk kepada hubungan persahabatan kedua tokoh berkenaan.
Maka, saya menganggap konspirasi kecil saya itu hanyalah andaian peribadi semata-mata.
Akan tetapi jika benar, ia memberi sebuah nilai sentimental dan erti penghormatan baharu yang dinikmati oleh peminat seni tanah air dalam mengenang Loloq sebagai bintang seni yang tiada galang ganti.
Namun, meskipun tidak merujuk kepada mana-mana perhubungan insan, ia bukanlah alasan bagi pendengar untuk tidak menjadikan karya ini sebagai satu bentuk perayaan emosi.
Dalam kanta yang lebih luas, saya berpendapat Arish Mikael telah memberikan justifikasi bahawa beliau berkebolehan dalam menghasilkan karya 'malar segar' atau kalis masa depan.
Kehadiran 'Nukilanmu' juga ibarat memberi nafas baharu dalam aliran pop semasa tanah air dan mengingatkan kita bahawa industri muzik tanah air akan baik-baik sahaja meski diganggu-gugat oleh pengaruh muzik luar.
Dalam lapis identiti sebagai penyanyi pula, saya berharap Arish Mikael untuk terus menoktahkan identiti sedia ada, kerana barangkali sukar baginya untuk menempa nama jika sering dibandingkan dengan Allahyarham Sudirman.
Pada hemat saya, walau ada sudut positifnya untuk diiktiraf sebagai suara yang seakan sama dengan bekas penyanyi nombor satu Asia itu, saya merasakan untuk menjadi pejuang seni yang diingati adalah bermakna untuk terus menjadi diri sendiri.
Peminat seni muzik juga ada peranannya untuk tidak menenggelamkan identiti Arish Mikael sebagai Arish Mikael dan bukannya Sudirman.
Saya turut teruja untuk mendegar rilisan baharu beliau pada masa akan datang, jika boleh, hasilkan album.
Kerana saya yakin bakat umpamanya bukan kategori one-hit wonder atau industry plant. Ia ditakdir untuk bertahan lama, jika terus dihargai.
Harapan ke depannya, semoga karya sebegini akan terus diraikan dan bakat seperti Arish Mikael tidak lagi disia-siakan.
Anda boleh mendegar 'Nukilanmu' nyanyian Arish Mikael di seluruh platform muzik digital.
* Fahmi Izuddin merupakan wartawan Astro AWANI.
** Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
Fahmi Izuddin
Fri Jan 12 2024
Ironinya, dalam waktu generasi hari ini lebih memilih genre yang lebih terkini, Arish Mikael memilih haluan lain dalam memaknai makna Pop Nostalgia dalam konteks muzik moden.
Tawar diskaun 40 peratus belian barangan keperluan perniagaan
Beban peniaga makanan menyediakan Menu Rahmah berikutan kenaikan harga barang boleh diatasi, apabila mereka memohon dan menggunakan kad diskaun khas Menu Rahmah
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Fuziah Salleh berkata ini kerana kad diskaun khas itu menawarkan pembelian barang keperluan perniagaan dengan diskaun sehingga 40 peratus.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Fuziah Salleh berkata ini kerana kad diskaun khas itu menawarkan pembelian barang keperluan perniagaan dengan diskaun sehingga 40 peratus.
987 bayi didiagnosis masalah pendengaran pada 2023
Seramai 987 daripada 253,822 bayi yang disaring menerusi Program Saringan Pendengaran Bayi Universal (UNHS) pada 2023 didiagnosis mengalami masalah pendengaran, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
PM Anwar saksikan pertukaran 6 MoU antara Malaysia dan Uzbekistan
MoU itu antaranya melibatkan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dengan Dewan Perdagangan dan Industri Uzbekistan (CCIU) sebagai usaha mengukuhkan dan membangunkan kerjasama promosi perdagangan antara Malaysia dan Uzbekistan serta pertukaran maklumat perdagangan.
Berita tempatan pilihan sepanjang hari ini
Berikut adalah berita yang paling menjadi tumpuan sepanjang Sabtu, 18 Mei 2024.
Berita antarabangsa pilihan sepanjang hari ini
Antara pelbagai berita luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah antara yang paling menjadi tumpuan sepanjang hari ini.
Piala Dunia Sepak Takraw: Malaysia tewaskan China acara regu
Malaysia memulakan aksi Kumpulan B acara regu kategori premier Kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw 2024 dengan langkah kanan selepas menewaskan China di Stadium Titiwangsa di sini hari ini.
Selangor tewaskan KDA FC 1-0, bergema 'siu' di MBPJ
Jaringan tunggal Aliff Haiqal Lokman Hakim Lau menyaksikan Selangor FC memulakan saingan Liga Super 2024/2025 dengan cemerlang, apabila meraih tiga mata penuh selepas menewaskan KDA FC 1-0.
Pulau Pinang 'gedung kelahiran' akhbar sebelum Perang Dunia Kedua
Pulau Pinang kini menjadi pemegang rekod aliran masuk pelaburan tertinggi di Malaysia dengan jumlah pelaburan RM71.9 bilion pada 2023.
50 maut di banjir kilat di Afghanistan - Polis
Menurut jurucakap polis, Abdul Rahman Badri, kesemua mangsa yang terkorban
di wilayah Ghor, dengan angka korban dijangka meningkat.
di wilayah Ghor, dengan angka korban dijangka meningkat.
Angka korban rakyat Palestin di Gaza hampiri 35,400 orang
Serangan Israel membunuh 83 orang dan mencederakan 105 yang lain dalam tempog 24 jam lalu.
Pop Nostalgia 'Nukilanmu', sebuah penghargaan kenangan dan adiwarna seni Arish Mikael
Kehadiran 'Nukilanmu' ibarat memberi nafas baharu dalam aliran pop semasa tanah air.